Bagnaia Naik Podium Lagi, MotoGP Jerman 2023
Pelumba pasukan Ducati Lenovo, Francesco “Pecco” Bagnaia telah menaikki podium sekali lagi, kali ini di MotoGP Jerman 2023. Kejayaan ini mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pendahulu kejuaraan MotoGP 2023 serta mempertahankan status juara MotoGP 2023.
Keputusan perlumbaan kali ini ditentukan selepas perlumbaan yang sengit di antara Bagnaia dan pelumba pasukan Pramac Ducati, Jorge Martin di dalam lap-lap terakhir. Martin berjaya menghalang Bagnaia daripada memotongnya dengan menunggang secara defensif, sehingga kedua-dua pelumba hampir berlanggar pada lap yang kedua terakhir. Bagnaia dapat pulih daripada insiden itu dan mengejar Martin sehingga selekoh yang terakhir. Akhirnya Martin dapat melepasi garisan penamat hanya 0.064 saat di depan.
Pasangan yang berentap ini berjaya meninggalkan seluruh grid jauh di belakang. Rakan sepasukan Martin, Johann Zarco menamatkan perlumbaan di tempat ketiga selepas berebut dengan pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Brad Binder sehingga tayar belakang motosikal Binder tergelincir yang mengakibatnya terjatuh dan tersingkir. Ia merupakan keputusan yang amat baik buat Zarco setelah dia dilanggar dengan teruk di dalam sesi latihan oleh motosikal Marc Marquez yang terbabas.
Pelumba-pelumba pasukan Mooney VR46 Racing, Marco Bezzecchi dan Luca Marini menamatkan perlumbaan di tempat keempat dan kelima.
Bagnaia telah memulakan pusingan ini dengan cara yang terbaik apabila melayakkan diri sebagai pelumba terpantas. Dia diikuti oleh Marini dan Jack Miller daripada KTM. Zarco, Bezzecchi dan Martin pula melengkapkan barisan grid yang kedua untuk tempat keempat hingga keenam. Ramai penunggang tidak dapat menonjolkan prestasi mereka di dalam pusingan kelayakkan kedua kerana terpaksa berdepan dengan bendera kuning setelah Marquez terjatuh tiga kali. Marquez akhirnya dapat melayakkan diri di tempat ketujuh, namun menarik diri daripada perlumbaan seterusnya kerana patah ibu jari kirinya.
Martin menunjukkan “form”nya untuk pusingan ini dari awal lagi dengan memenangi sesi perlumbaan Sprint, setelah memintas Miller pada lap keempat untuk mendahului perlumbaan sehingga tamat. Bagnaia juga berjaya memintas Miller untuk meraih tempat kedua.
Bagnaia telah mengumpul 160 mata sehingga sekarang, manakala Martin berada di tempat kedua dengan 144 mata. Pusingan seterusnya akan berlangsung di Assen, Belanda dari 23 – 25 Jun.