Ducati Panigale V4 R (2023) telah Dilancarkan di Malaysia
Ducati Panigale V4 R (2023) telah dilancarakan di Malaysia baru-baru ini.
Apakah perbezaan Ducati Panigale V4 R dengan Panigale V4 S?
Panigale V4 R merupakan model khas yang dihasilkan bagi tujuan homologasi agar dapat mengambil bahagian di dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK). Kejuaraan itu memerlukan pembuat motosikal yang mengambil bahagian untuk menghasilkan sebilangan model yang akan dilumba, bergantung kepada jumlah pengeluaran pembuat tersebut. Oleh itu terdapat model yang khas seperti Ducati Panigale V4 R ini, seperti Honda CBR1000RR-R SP (berbanding CBR1000RR-R), Kawasaki Ninja ZX-10RR (berbanding ZX-10R), BMW M 1000 RR (berbanding S 1000 RR), dan sebagainya. Inilah model-model keluaran terhad atau lebih dikenali sebagai “Limited Edition.”
Model Panigale V4 S pula merupakan keluaran standard yang tidak mempunyai spesifikasi yang akan dilumba.
Jadi apakah ciri baharu Panigale V4 R (2023)?
Alvaro Bautista telah berjaya merangkul juara keseluruhan WSK musim 2022 dengan menunggang Ducati Panigale V4 R, jadi pembuat negara Itali itu menghasilkan V4 R yang lagi berkuasa bagi musim 2024. Sebagai perbandingan, enjin Panigale V4 R keluaran 2022 sudah pun menjana 218HP pada 15,500 rpm. Bagaimanapun, Ducati telah mempertingkatkan model 2023 ini dengan menaikkan RPM maksimum kepada 16,500 rpm pada gear ke-6, dengan tujuan untuk mencapai kelajuan tertinggi pada bahagian lurus trek.
Selain itu, pengenalan ekzos perlumbaan baharu, serta bahanapi yang dirumus khas oleh Shell membolehkan enjin Panigale V4 R 2023 menghasilkan kuasa maksimum yang mengagumkan sebanyak 240.5HP.
Ducati juga telah melaksanakan ciri-ciri inovatif untuk meningkatkan kuasa tambahan Panigale V4 R dengan cara mengurangkan keberatan (inersia) serta geseran di dalam enjin. Salah satunya ialah melalui penggunaan rod penyambung piston (jackrod) titanium yang digerudi serta piston yang bersalut DLC (diamond-like coating). Tambah lagi, geometri piston pun dirombak semula agar mengurangkan 5 gram setiap piston bagi mengurangkan inersia. 5 gram tidak terasa banyak di dalam tangan kita, tetapi memainkan peranan yang amat besar apabila piston itu bergerak naik dan turun 33,000 kali sesaat pada 16,500 RPM!
Apakah maksud inersia (inertia)?
Setiap objek yang berjisim (jisim ini didarab dengan kuasa graviti 9.8 m/s/s untuk menghasilkan keberatan) mempunyai inersia, sama ada ianya berada pada keadaan rehat mahupun ketika bergerak. Lebih tinggi jisim ini maka lebih tinggilah daya inersia yang dihasilkan. Dalam kes piston Panigale V4 R yang baharu ini, pengurangan inersia bermaksud aci engkol (crankshaft) boleh mengurangkan penggunaan kuasa bagi menarik piston ke bawah daripada bahagian atas silinder, dan sebaliknya menolak piston itu kembali ke atas. Oleh yang demikian, kehilangan kuasa secara parasitik (parasitic power loss) dikurangkan, serta enjin dapat digalakkan dengan lebih cepat. Sebab itu, pengurangan 5 gram merupakan suatu pencapaian yang amat penting!
Bagimana pula dengan ciri-ciri elektronik?
Motosikal Ducati sememangnya terkenal dengan ciri-ciri elektronik dan model ini tidak terlepas.
Mod enjin baharu telah diperkenalkan bagi melengkapkan prestasi yang baharu ini. 2 mod baharu, iaitu FULL (kuasa penuh) dan LOW (kuasa rendah), menawarkan pengalaman menunggang yang berbeza. Seperti istilahnya, mod FULL melepaskan kuasa penuh V4 R, memberikan penunggang potensi prestasi maksimum. Sebaliknya, mod LOW menghadkan kuasa kepada 160HP, mewujudkan pengalaman menunggang yang lebih tenang dan “santai” (santailah sangat dengan 160HP! – Editor), terutamanya sesuai untuk kegunaan jalan raya.
Ducati juga telah menambahbaikkan beberapa ciri Panigale V4 R 2023 ini. Sistem Ducati Quick Shift telah dirombak untuk membolehkan penukaran gear yang lebih lancar semasa pendikit (throttle) dibuka separa dan penuh. Seperti biasa, suspensi Ohlins yang dipilih, dengan fork depan NPX25/30 kini menawarkan peningkatan pergerakan sebanyak 5mm. Bagi meningkatkan pengendelalian, Ducati telah meninggikan kedudukan paksi lengan ayun, yang juga meninggikan pelana duduk sebanyak 20mm. Satu lagi tambahan yang ketara ialah tangki petrol 17 liter yang lebih besar.
Ok, ok, jadi berapakah harganya?
Er… ade pembuat kereta golongan kayangan pernah cakap, “Jika anda bertanyakan harganya, anda tidak akan menghayati maksudnya.” Eh eh, macamlah kita tak boleh nak beli! Kami telah mendapat berita bahawa Ducati Malaysia telah menjual tiga buah Panigale V4 R baharu ini.
Baiklah, berapakah harganya? Ducati Panigale V4 R (2023 dijual) pada harga RM458,900.