Francesco Bagnaia Juara di MotoGP Belanda 2023
Penunggang pasukan Ducati Lenovo MotoGP, Francesco Bagnaia telah menjuarai perlumbaan MotoGP Belanda 2023. Ia merupakan kemenangan keempat baginya pada tahun ini, dan podium ketiga berturut-turut.
Sesi P1
Seperti ketika pusingan GP Jerman, Bagnaia tidak dapat bermula dengan baik. Kali ini, dia terpaksa bergelut dengan ketidakstabilan motosikal Ducati Desmosedici GP23-nya di atas litar Assen. Aturan litar ini hanya mempunyai satu jalan lurus, justeru penunggang-penunggang terpaksa membrek dengan kuat ketika motosikal dimerengkan. Bagnaia telah terbabas tiga kali ketika sesi ini dan dinampak naik berang dengan motosikalnya.
Dia hanya dapat merekodkan masa ke-12 terpantas (1:33.498), manakala rakan sepasukannya Enea Bastianini pula berada di tempat ke-17. Bastianini masih dalam proses pemulihan.
Tetapi rakan Bagnaia daripada VR46 Academy dan rakan senegaranya Marco Bezzecchi (Mooney VR46) yang menunjukkan taring dan menamatkan sesi ini sebagai pelumba yang terpantas (1:32.246) dengan menunggang Ducati GP22. Motosikal itu yang ditunggang oleh Bagnaia pada musim lepas untuk memenangi kejuaraan MotoGP. Masa yang dicatatnya itu 1.252 saat lebih pantas daripada Bagnaia.
Tiga tempat terpantas dilengkapkan oleh Maverick Vinalez (Aprilia) dan Alex Marquez (Gresini).
Sesi P2
Bezzecchi meneruskan prestasinya di sesi ini dengan mencatatkan masa terpantas dan mengukuhkan kedudukannya di atas senarai Masa Latihan Bergabung (Combined Practice Times). Dia diikuti oleh pemenang perlumbaan Sprint dan MotoGP GP Jerman, Jorge Martin (Pramac Ducati) dan Jack Miller (KTM).
Sesi tergendala apabila Marc Marquez (Repsol Honda) mengalami kemalangan apabila cuba “mencucuk angin” jentera Aprilia yang ditunggang oleh Vinalez. Namun, aksinya itu mengundang padah apabila dia terbabas dan terjatuh selepas hanya dua selekoh. Kemalangan ini menyebabkan bendera kuning dikibarkan dan ia mengganggu usaha penunggang lain untuk mencatatkan masa terpantas mereka. Marquez menghabiskan sesi ini di tempat ke-19.
Sesi Q1
Sesi Q1 ini merupakan peluang terakhir bagi dua penunggang terpantas untuk memasukki Sesi Q2 dan merebut grid permulaan di antara 1 ke 12.
Johann Zarco (Pramac Ducati) memulakan cabaran dengan mencatatkan masa terpantas tetapi Miquel Oliveira (RNF Aprilia) mencatatkan masa yang lebih pantas. Namun, kedua-duanya layak ke Sesi Q2.
Sekali lagi sesi telah diganggu oleh satu lagi kemalangan yang melibatkan Marc Marquez. Kali ini, dia ingin mencucuk angin Bastianini pula. Tetapi apabila Bastianini memperlahankan motosikal ketika keluar daripada laluan pit, Marquez yang turut memandang ke belakang melanggar motosikal Bastianini dan terjatuh. Marquez dan Bastianini mengakhiri sesi di petak ke-17 dan ke-18.
Sesi Q2
Bezzecchi terus menguasai sesi ini sejak permulaan. Bagnaia pula dapat memintas masa pelumba-pelumba lain sebagai penunggang kedua terpantas. Vinalez pula berada di tempat ketiga di atas litar kegemarannya ini. Martin tidak dapat membuat lap yang lebih laju dan berada di tempat ke-10.
Penunggang-penunggang mula betul-betul berentap untuk kedudukan grid yang muktamat pada “separuh masa kedua” sesi ini. Pada mulanya, Fabio Quartararo menggunakan ciri Yamaha-nya yang sesuai di atas litar berliku-liku untuk mencatatkan masa terpantas. Namun, ia tidak mencukupi kerana masanya dipintas oleh Bezzecchi dan Bagnaia yang kedua-duanya memecahkan rekod litar ini. Luca Marini (Mooney VR46) mencucuk angin di belakang Bagnaia dan ini membawanya ke tempat ke-3. Apapun, masa yang dicatatkan oleh Quartararo meletakkannya di tempat ke-4.
Brad Binder (KTM) bergelut dengan KTM RC16-nya untuk mengambil petak ke-5. Motosikalnya tidak menggemari litar yang memerlukan penunggang membrek dan memecut dengan kuat, serta pertukaran arah yang bersambung.
Perlumbaan Sprint
Binder tidak berlepas dengan baik seperti biasa dan Bezzecchi dapat berada di hadapan kelompok pelumba. Tetapi Bagnaia berjaya mencari ruang dan memintanya apabila mereka memasukki selekoh yang pertama. Binder dan Quartararo pula mengikuti dengan rapat di belakang.
Bezzecchi tidak melepaskan Bagnaia dan akhirnya dapat memintas pada Lap 4 selepas kedua-dua bertarung seketika. Aksi ini memperlahankan mereka dan memberikan peluang kepada Binder untuk merapatkan jurang dan mengasak Bagnaia. Namun, Bagnaia dapat menghalang Binder dan mereka menghabiskan perlumbaan di dalam keadaan yang berikut: Bezzecchi, Bagnaia, Binder.
Tidak lama selepas itu, pihak pengelola mengumumkan bahawa Binder telah melakukan kesalahan mengambil bahagian trek dan mendapat kelebihan. Dia diberikan penalti sebanyak 3 saat justeru mengangkat Quartararo ke tempat ke-3 dan Aleix Espargaro (Aprilia) ke tempat ke-4 di hadapan Binder.
Perlumbaan Utama
Marc Marquez telah mengumumkan bahawa dia akan menarik diri daripada perlumbaan ini. Dia telah diumumkan sebagai tidak cukup sifat setelah mematahkan satu tulang selangka.
Permulaan perlumbaan menyaksikan Brad Binder menggunakan potensi KTM-nya yang dapat berlepas dengan cepat. Bagnaia mengikuti rapat di belakang di hadapan Bezzecchi. Di belakang mereka, motosikal Espargaro terlanggar tayar belakang motosikal Marini dan ini mematahkan sayang depan motosikalnya.
Setelah itu, Binder mencuba sedaya upayanya untuk tidak dipintas. Tetapi Bagnaia dapat mengasak dan menjumpai ruang untuk memintas pada Lap 3 dan dapat menjarakkan diri sejauh 0.5 saat pada hujung lap itu.
Bezzecchi pula hanya dapat memintas Binder dengan baki hanya 10 lap lagi. Dia kemudiannya cuba mengejar Bagnaia yang sudah jauh di depan. Bagnaia dapat bertindak dengan menunggang pada kadar yang amat konsisten dan mengawal rentak perlumbaan di hadapan. Akhirnya, dia menamatkan perlumbaan 1 saat di depan Bezzecchi.
Drama beralih ke belakang dua pelumba ini kerana Espargaro telah dapat merapatkan jurang kepada Binder dan mencabarkan dengan agresif. Apapun, dia tidak dapat memotong Binder sehinggalah tamat perlumbaan. Tetapi sekali lagi terpapar di TV semua penonton “PENALTI 3 SAAT PELUMBA #33, TERBABAS DARIPADA HAD LITAR.” Binder telah didapati terbabas (sedikit) di selekoh S terakhir, iaitu tempat yang sama ketika perlumbaan Sprint semalam. Oleh itu, dia diturunkan ke tempat ke-4 dan Espargaro mengambil tempat terakhir di atas podium.
Kedudukan penunggang
Francesco Bagnaia telah berjaya menjarakkan dirinya di dalam senarai pungutan mata daripada Jorge Martin. Kejuaraan ini akan bercuti selama 5 minggu untuk musim panas.
Kedudukan Penunggang MotoGP 2023 (Top 10 Selepas 9 Pusingan) | |||
Pos. | Rider | Team | Points |
1. | Francesco Bagnaia | Ducati Lenovo MotoGP | 194 |
2. | Jorge Martin | Prima Pramac Racing | 159 |
3. | Marco Bezzecchi | Mooney VR46 Racing Team | 158 |
4. | Brad Binder | Red Bull KTM Factory Racing | 114 |
5. | Johann Zarco | Prima Pramac Racing | 109 |
6. | Luca Marini | Mooney VR46 Racing Team | 98 |
7. | Jack Miller | Red Bull KTM Factory Racing | 79 |
8. | Aleix Espargaro | Aprilia Racing | 77 |
9. | Fabio Quartararo | Monster Energy Yamaha | 64 |
10. | Alex Marquez | Gresini Racing MotoGP | 63 |