Alex Rins dan LCR Honda Menang di GP The Americas 2023

Alex Rins and LCR Honda Wins at GP of The Americas 2023

Alex Rins dan LCR Honda Castrol telah mencatat kemenangan yang bergaya di Grand Prix of The Americas. Kemenangan ini merupakan yang pertama bagi gandingan baharu Rins dan LCR Honda Castrol, ia merupakan perlumbaan ketiga mereka bersama. Selain itu, ia juga menjadi kemenangan pertama buat Honda dalam musim MotoGP 2023.

Rins menunjukkan tanda awal cabaran apabila mencatat masa ketiga terpantas dalam dua sesi latihan gabungan pertama pada hari Jumaat. “Saya gembira dengan keputusan hari ini; saya berasa selesa dengan moto ini. Saya memang sentiasa sukakan litar ini, dan walaupun masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki, kami telah membuktikan peningkatan kami. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan atas usaha mereka,” kata pelumba Sepanyol itu.

Pencapaian itu melayakkan beliau terus ke Q2 (Kelayakan 2) pada hari Sabtu.

Meneruskan prestasi cemerlangnya, Rins kemudian berjaya layak di petak kedua pada grid permulaan. Dan ia bukan sekadar satu pencapaian sementara, kerana Rins terus mengekalkan momentum apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam Perlumbaan Pecut Tissot pada hari yang sama. Detik manis itu bukan sahaja menghadiahkan LCR Honda Castrol podium pertama selepas 4 tahun penantian, malah mengukir sejarah dengan podium ke-100 sepanjang penubuhan pasukan tersebut.

BACA DI SINI: Perlumbaan Pecut MotoGP menjelaskan

Ahad lalu, ketika perlumbaan bermula, Rins enggan memberi ruang kepada Francesco ‘Pecco’ Bagnaia yang bermula di petak utama, apabila beliau kekal mengekori rapat di belakang lawannya. Rins terus memberikan tekanan sehingga Bagnaia terbabas dan hilang kawalan di bahagian hadapan motosikal Ducatinya. Ia merupakan kemalangan kedua Bagnaia dalam dua perlumbaan berturut-turut.

Rins kemudian mengawal rentak perlumbaan dari hadapan, sementara Luca Marini dan Fabio Quartararo berentap sesama sendiri bagi merebut tempat kedua dan ketiga di podium.

Kemenangan Rins telah meredakan kebimbangan bahawa beliau tidak mampu menyesuaikan diri dengan ciri-ciri moto Honda RC213V, selepas sekian lama menunggang Suzuki GSX-RR. Kemahiran dan tekadnya juga jelas terserlah, meskipun semua pelumba Honda lain mendapati motosikal itu sukar untuk ditunggang.