GERAK LUMBA TANGKAK PUSINGAN 1 MALAYSIA CUBPRIX, JOHOR

MALAYSIAN CUBPRIX ROUND 1 TANGKAK RACING TRACK, JOHOR

31 MAC – 01 APRIL 2018

Malaysian Cub Prix memasuki musim ke-25 tahun ini. Pusingan pertama kejohanan berlangsung di Litar Tangkak, Johor pada hujung minggu lalu. Acara istimewa ini diadakan sebagai penanda pembukaan rasmi litar tersebut walaupun telah digunakan sejak tahun lalu. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin.

Lebih mengujakan, acara kali ini turut menyaksikan penampilan semua pelumba Malaysia yang pernah beraksi di pentas dunia, diketuai oleh Hafizh Syahrin, Khairul Idham Pawi, Zulfahmi Khairuddin, Adam Norrodin, Azlan Shah, Zaqhwan Zaidi, Kasma Daniel malah ketua pasukan perlumbaan kami sendiri, Shahrul Yuzy.

VIP yang hadir turut menyarung helmet edisi khas M30.3 D-Visor sempena acara ini ketika mereka melengkapkan pusingan istimewa di litar. Suasana menjadi gamat apabila orang ramai bersorak melihat bintang-bintang sukan permotoran negara berkumpul di satu lokasi. Namun, pusingan pertama ini cukup mencabar buat pasukan Yuzy Racing apabila pelumba terbaik kami, #20 Azroy Anuar hanya mampu menamatkan saingan di tempat ketujuh bagi kategori CP150. Musim ini dijangka panjang dan penuh cabaran, dan kami berharap dapat memperbaiki prestasi menjelang pusingan kedua yang dijadualkan pada 5 Mei di Temerloh, Pahang.

Jumpa lagi di sana!!