
Mengantuk Bukan Pilihan
Penunggang motosikal juga boleh rasa mengantuk dan letih. Walaupun hilang sesaat tumpuan kita boleh membawa akibat yang buruk, ia kerana kita tidak dilindungi oleh sangkar besi dan kaca seperti pemandu kereta.
Oleh itu, kita mesti mencari cara untuk kekal segar dan berjaga ketika menunggang.
Rehat Secukupnya
Adalah penting untuk mendapatkan rehat yang cukup sehari sebelum perjalanan anda pada hari berikutnya. Jika tidak cukup tidur, anda akan menunggang seperti zombi dan besar kemungkinan akan mengantuk menjelang tengah hari, lebih-lebih lagi dalam cuaca Malaysia yang panas dan lembap.
Berhenti Seketika
Tindakan terbaik jika anda mula rasa mengantuk ialah berhenti dan ambil masa tidur sekejap selama 15 minit. Hampir semua hentian rehat di lebuh raya utama menyediakan kemudahan tempat berehat. Sudah tentu, pastikan semua barangan anda disimpan dengan selamat di dalam kotak GIVI sebelum melelapkan mata.
Kekal terhidrat
Punca terbesar mengantuk biasanya ialah dehidrasi. Cara terbaik mencegahnya ialah dengan mengambil air secukupnya sebelum memulakan tunggangan. Kaedah yang lebih praktikal ialah menggunakan hydration pack, supaya anda boleh mengawal pengambilan air secara berperingkat. Malah, tindakan minum itu sendiri boleh membantu menghilangkan rasa bosan ketika menunggang jauh.
Regangan
Lakukan regangan ringan dan pernafasan sebelum mula menunggang. Ini biasanya membantu anda kekal segar lebih lama. Jika terasa hilang fokus atau mula letih ketika menunggang, cari jalan lurus yang panjang dan bangun berdiri di atas footpeg. Aliran angin tambahan ke bahagian badan pasti menyegarkan, terutama jika anda menunggang motosikal dengan windscreen tinggi. Seterusnya, anda juga boleh menggerakkan badan ke belakang sedikit di atas pelana untuk meregangkan belakang, atau melunjurkan kaki seketika.
Memulakan tunggangan lebih awal pada waktu pagi juga memberi banyak kelebihan, seperti cuaca lebih sejuk, trafik lebih tenang, dan tubuh kurang cepat letih kerana tidak terus-terusan terdedah kepada panas dan lembap. Tambahan pula, berlepas awal membuatkan anda menunggang dengan lebih santai tanpa rasa tergesa-gesa.
Fikiran positif
Kekal positif juga banyak membantu untuk terus berjaga. Fikiran dan badan anda akan cepat letih jika asyik mengulang, “Bila nak sampai?”, “Kenapa aku penat sangat?” atau “Kenapa The Rise of Skywalker teruk sangat?”. Pendek kata, kawal fikiran anda. Fokus kepada apa yang ingin anda capai di penghujung tunggangan, bukan pada rungutan.
Jangan makan terlalu banyak
Sumber gambar: 4.p.blogspot.com
Di Malaysia, penunggang sering menganjurkan ride jauh semata-mata untuk mencari makanan. Malangnya, selepas menjamah hidangan besar lapan jenis lauk, mengantuk pasti menyerang. Jadi, lain kali cukup sekadar merasa setiap hidangan dan berhenti sebelum betul-betul kenyang. Carilah buah-buahan segar atau jus buah tanpa gula setiap kali berhenti isi minyak untuk kekal lebih segar, lebih bertenaga.
Memakai penyumbat telinga dapat mengurangkan keletihan akibat bunyi angin yang berterusan. Gunakan penyumbat telinga khas yang menapis bunyi angin berbahaya tetapi masih membenarkan anda mendengar percakapan dan bunyi persekitaran.
Dengar muzik
Sesetengah penunggang beranggapan Bluetooth communicator mengganggu, tetapi daripada pengalaman kami, ia sangat berguna jika anda pandai multitask. Memainkan lagu kegemaran membuatkan perjalanan lebih menghiburkan dan minda yang terhibur akan kekal segar. Cuma, jangan sesekali mendengarnya pada volume maksimum.
Biarkan udara mengalir
Helmet full-face sememangnya paling selamat, tetapi ia juga mengehadkan aliran udara. Akibatnya, bahagian dalam helmet boleh jadi hangat dan kurang selesa. Untuk menyejukkannya, buka visor sedikit ketika menunggang di lebuh raya pada hari panas supaya udara segar dapat masuk.
Berhenti untuk perkara yang menarik 
Rasa bosan mudah muncul apabila melalui laluan yang terlalu biasa, terutamanya jalan lurus yang panjang. Ambil sedikit jalan alternatif atau berhenti seketika untuk merakam gambar pemandangan menarik, cara ini mampu menghilangkan rasa bosan dan membantu anda kekal segar.
Kesimpulan
Ada banyak lagi cara lain untuk memastikan anda kekal berjaga ketika menunggang. Apa pun caranya, lakukanlah, kerana tertidur di atas motosikal bukanlah pilihan.




