
Setiap penunggang motosikal patut memakai penutup telinga. Titik. Itu kenyataan yang perlu kita tegaskan dari awal.
Masih ramai penunggang menunggang tanpa perlindungan telinga, dan ini sesuatu yang membimbangkan. Kerosakan pendengaran boleh membawa kepada ketidakselesaan, cepat marah, tekanan, keletihan, kemurungan, malah yang paling teruk, hilang pendengaran secara kekal. Lebih parah, kerosakan ini berlaku secara beransur-ansur tanpa disedari sehingga sudah terlambat, menyebabkan tinnitus iaitu bunyi berdesing yang tidak henti-henti di telinga. Keadaan ini biasanya tidak boleh dipulihkan.
Apa itu desibel (dB)?
Tahap kekuatan bunyi diukur menggunakan unit desibel. Ia bukan sekadar nombor, tetapi ukuran logaritma. Contohnya, bunyi 20 dB sebenarnya 10 kali lebih kuat daripada 10 dB, bukannya hanya dua kali. Jadi bayangkan, jika anda menunggang dengan tahap bunyi sekitar 80 dB, lalu meningkat ke 100 dB, bunyinya sudah 100 kali ganda lebih kuat!
Menurut Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Amerika (NIOSH), kerosakan telinga boleh bermula dengan pendedahan bunyi 85 dB dalam tempoh lama. Mereka menetapkan had selamat pekerja tidak boleh terdedah lebih daripada 85 dB sepanjang 8 jam. Malah, bunyi pada 100 dB hanya dalam masa 15 minit sahaja sudah cukup untuk merosakkan pendengaran.
Dengan mengambil kira perkara ini, menunggang di kelajuan bandar antara 40–80 km/j boleh menghasilkan bunyi sekitar 80–89 dB (bergantung pada perlindungan angin motosikal anda dan jenis helmet yang dipakai).
Dalam keadaan trafik yang sesak, tahap bunyi yang dialami oleh penunggang boleh mencecah 80 hingga 89 dB. Ya, itu sudah cukup bising walaupun hanya menunggang bawah 80 km/j. Apabila kelajuan meningkat ke 100 km/j, tahap bunyi naik sehingga 100 dB. Kajian pula menunjukkan, jika menunggang pada 150 km/j, bunyi yang terhasil boleh mencecah 110 dB.
Mungkin perbezaan 10 dB antara 100 dan 110 dB nampak kecil di atas kertas, tapi realitinya sangat besar. Pada 100 dB, pendengaran boleh rosak hanya dalam 15 minit. Tetapi pada 110 dB, ia cukup untuk merosakkan telinga dalam tempoh kurang daripada 2 minit sahaja.

Sesetengah pengeluar helmet mungkin mendakwa bahawa produk mereka adalah “senyap”. Tetapi hakikatnya, tiada helmet yang benar-benar senyap kerana peraturan telah menetapkan bahawa helmet tidak boleh menutup sepenuhnya deria pendengaran penunggang. Maka, jawapannya mudah – memang tiada helmet yang senyap.
Memakai helmet full-face memang dapat mengurangkan bunyi angin sebanyak 10 hingga 15 dB, tetapi pada kelajuan 100 km/j, tahap bunyi masih berada di sekitar 85 hingga 90 dB
Jadi, apakah penyelesaiannnya?
Penyelesaian terbaik adalah setiap penunggang wajib memakai earplugs.
Ramai penunggang percaya earplugs akan menghalang bunyi penting di sekeliling. Ya, itu mungkin berlaku jika anda menggunakan foam plugs biasa, seperti yang digunakan ketika trackdays atau perlumbaan.
Namun, untuk penunggang motosikal harian, terdapat earplugs khas dengan penapis istimewa, ia mengurangkan bunyi bising seperti deruan angin, tetapi masih membenarkan anda mendengar suara, bunyi enjin, sistem komunikasi, dan bunyi persekitaran lain. Memang harganya lebih mahal, tetapi fikirkan, alat bantuan pendengaran jauh lebih mahal, dan pendengaran anda tiada gantinya.
Selain menyelamatkan anda daripada risiko kerosakan telinga, earplugs juga mengurangkan keletihan akibat bunyi bising. Malah, anda tidak mudah terpedaya dengan deruan angin yang membuatkan anda terasa seperti menunggang terlalu laju – sekaligus membolehkan anda fokus pada aspek penting lain semasa menunggang.
Jaga telinga anda. Mulakan penggunaan ear protection hari ini!
